Ibu Penentu Kejayaan Anak

Posted on 12/03/2009. Filed under: Berita dan Rencana | Tags: , |

10 Mac 2009

KEJAYAAN yang diraih individu ketika dewasa sebenarnya boleh dibentuk bermula dalam kandungan lagi, tetapi ia tidak akan wujud secara semula jadi, sebaliknya memerlukan usaha ibu bapa

untuk melakukan rangsangan bagi memastikan perkembangan anak terus positif.

Walaupun kajian sains menunjukkan 75 peratus anak yang dilahirkan akan mewarisi genetik ibu bapanya yang bermakna jika ibu bapa itu di kalangan mereka yang berilmu, maka anak berkenaan juga akan menjadi cerdik, tetapi faktor baki 25 peratus lagi iaitu persekitaran yang akan menentukan masa depan mereka, perlu turut diambil kira.

Atas sebab itu, kita tidak pelik jika anak di kalangan ibu bapa berpelajaran mampu muncul menjadi insan hebat yang berjaya mengatasi kejayaan ibu bapanya, jika ibu bapa terbabit menyediakan ruang yang kondusif dan sokongan padu untuk anak mempamer kemampuan sebenar diri.

Keadaan sama boleh berlaku kepada anak kampung jika ibu bapanya memanfaatkan faktor 25 peratus itu untuk mendorong anaknya berjaya walaupun mereka lahir dalam keluarga kurang berkemampuan.

Pakar pediatrik Hospital Kuala Lumpur (JHKL), Dr Ranjini S Sivanesom, berkata stimulasi ketika pranatal sangat penting dan ibu digalakkan meluangkan masa bercakap dengan bayi dalam kandungan.

“Selain itu, ibu perlu tahu bahawa dalam tempoh kandungan berusia 12 hingga 16 minggu adalah masa sangat penting yang akan menentukan masa depan anak kerana ketika itu, proses pembentukan otak bayi sedang berlaku.

“Jadi, ibu perlu menjaga dan memastikan kesihatan mereka baik sepanjang masa kerana jika mereka sakit, ia akan merencatkan perkembangan pembentukan anak yang boleh menyebabkan kecacatan anggota,” katanya ketika memberikan ceramah bertajuk `Merangsang Perkembangan Si Kecil’ pada kursus bersiri pembangunan keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di Kuala lumpur, baru-baru ini.

Ranjini berkata, ibu hamil menjaga pemakanan dan tidak boleh berasa tertekan kerana ia memberi kesan langsung kepada pembesaran bayi.

Sehubungan itu, katanya, ibu perlu mendapatkan rawatan sewajarnya bagi mengatasi tekanan supaya sentiasa berada dalam keadaan tenang.

“Selepas anak dilahirkan, tempoh dua tahun pertama itu menjadi penanda aras untuk kejayaan anak dan ibu bapa perlu bertindak cepat terhadap tingkah laku anak mereka.

“Ini penting kerana apa yang mereka pelajari dalam tempoh ini seakan melekat di otak dan pengalaman yang mereka tempuhi ketika usia seawal dua tahun ini, akan menentukan karektor mereka untuk jangka panjang,” katanya.

Ranjini berkata, ibu bapa juga perlu sentiasa memastikan anak mereka tidak mengalami tekanan, selain mampu menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka.

“Ibu bapa tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang negatif terhadap anak kerana ia memberi kesan kepada mereka, malah mungkin anak akan mengalami tekanan dan jika ini berlaku, ianya boleh membantutkan perkembangan mereka.

“Seeloknya, ibu bapa perlu banyakkan sentuhan bagi menggambarkan kasih sayang termasuk memeluk anak setiap kali sebelum tidur dan proses ini mampu memberi kesan yang kuat terhadap emosi mereka, sekali gus dapat membina keyakinan diri,” katanya.

Ranjini berkata, pembabitan dalam muzik, lagu dan lukisan adalah antara aktiviti yang mampu menyumbang ke arah perkembangan positif anak.

Sementara itu, pensyarah Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Aishah Hassan dalam ceramahnya bertajuk `Pengawasan dan Keselamatan Anak Kecil’ berkata, ibu bapa perlu mewujudkan suasana yang selamat untuk anak kerana keadaan berkenaan membolehkan mereka berasa yakin untuk terus belajar meneroka kehidupan.

Katanya, sikap ibu sebagai pelindung dan peranan mereka yang sentiasa menenangkan anak sepanjang masa, menyebabkan ikatan anak dan ibu bertambah kuat, malah hubungan itu mampu berkekalan walaupun anak sudah dewasa.

“Sebab itu, bila anak ada masalah, mereka tetap akan mencari ibu kerana dia tahu ibu mampu menenangkan. Sebenarnya, apa yang mereka terima daripada ibu ketika kecil akan memberi kesan ketika dewasa.

“Contohnya, jika mereka sering diabaikan ketika kecil, ini mewujudkan suasana tidak selamat dan mereka berasa jauh dari ibu bapa. Apabila besar, anak ini tidak ada keyakinan diri dan lebih suka merujuk masalah dengan orang lain berbanding ibu bapa, “ katanya.

Sumber: Berita Harian

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: